Syirik ialah menyamakan selain Allah SWT denganNya dalam Rububiyyah dan Uluhiyyah. Umumnya menyekutukan dalam Uluhiyyah Allah, iaitu hal-hal yang merupakan kekhususan bagi Allah, seperti berdoa kepada selain Allah di samping berdo'a kepada Allah, atau memalingkan suatu bentuk ibadah seperti menyembelih (korban), bernazar, berdoa dan sebagainya kepada selainNya.
Kerana itu, barangsiapa menyembah selain Allah SWT bererti ia meletakkan ibadah tidak pada tempatnya dan memberikannya kepada yang tidak berhak, dan itu merupakan kezaliman yang paling besar. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar." (QS Luqman: 13)
Allah SWT tidak akan mengampuni orang yang berbuat syirik kepadaNya, jika ia meninggal dunia dalam kemusyrikannya. FirmanNya: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar." (QS An-Nisa': 48)
Syurga pun diharamkan bagi orang-orang musyrik. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang yang mempersekutukan Allah, maka pasti Allah mengharamkan Syurga kepadanya, dan tempatnya ialah Neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun." (QS Al-Ma'idah: 72)
Syirik juga menghapuskan pahala segala amal kebaikan. Allah SWT berfirman: "Seandainya mereka mempersekutukan Allah, niscaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan." (QS Al-An'am: 88)
Allah SWT juga berfirman: "Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada sebelummu: "Jika kamu mempersekutukan (Allah), niscaya akan hapus amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi." (QS Az-Zumar: 65)
Sesungguhnya orang-orang musyrik itu halal darah dan hartanya. FirmanNya: "...Maka bunuhlah orang-orang musyirikin di mana saja kamu jumpai mereka, dan tangkaplah mereka. Kepunglah mereka dan intailah di tempat pengintaian..."(QS At-Taubah: 5)
Rasulullah SAW pernah bersabda: "Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sampai mereka bersaksi bahwa tiada sembahan yang haq melainkan Allah dan bahawa Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, dan membayar zakat. Jika mereka telah melakukan hal tersebut, maka darah dan harta mereka aku lindungi kecuali dengan hak Islam dan hisab mereka ada pada Allah Azza Wa Jalla."
Kesimpulannya, syirik adalah dosa besar yang paling besar, kezaliman yang paling zalim dan kemungkaran yang paling mungkar.
JENIS-JENIS SYIRIK
Syirik boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu Syirik Besar dan Syirik Kecil.
Syirik besar adalah memalingkan sesuatu bentuk ibadah kepada selain Allah SWT, seperti berdoa kepada selain Allah SWT atau mendekatkan diri kepadaNya dengan penyembelihan korban atau nazar untuk selain Allah, baik untuk kuburan, jin atau syaitan, atau mengharap sesuatu selain Allah, yang tidak kuasa memberikan manfaat mahupun mudarat.
Syirik besar boleh mengeluarkan pelakunya dari agama Islam dan menjadikannya kekal di dalam Neraka, jika ia meninggal dunia dan belum bertaubat daripadanya. Syirik besar itu ada empat macam:
[a]. Syirik Do'a, iaitu di samping dia berdoa kepada Allah SWT, ia juga berdoa kepada selainNya.
[b]. Syirik Niat, Keinginan dan Tujuan, iaitu ia menunjukkan suatu ibadah untuk selain Allah SWT.
[c]. Syirik Ketaatan, yaitu mentaati kepada selain Allah SWT dalam hal maksiat kepada Allah
[d]. Syirik Mahabbah (Kecintaan), iaitu menyamakan selain Allah dengan Allah SWT dalam hal kecintaan.
Syirik kecil pula tidak menjadikan pelakunya keluar dari agama Islam, tetapi ia mengurangi tauhid dan merupakan wasilah (perantara) kepada syirik besar. Syirik kecil ada dua macam:
[a]. Syirik Zahir (Nyata), iaitu syirik kecil yang dalam bentuk ucapan dan perbuatan. Dalam bentuk ucapan misalnya, bersumpah dengan nama selain Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa bersumpah dengan nama selain Allah, maka ia telah berbuat kufur atau syirik."
Qutailah Radhiyallahuma mengatakan bahawa ada seorang Yahudi yang datang kepada Nabi SAW, dan berkata: "Sesungguhnya kamu sekalian melakukan perbuatan syirik. Kamu mengucapkan: "Atas kehendak Allah dan kehendakmu" dan mengucapkan: "Demi Kaa'bah". Maka Nabi SAW memerintahkan para sahabat apabila hendak bersumpah supaya mengucapkan, "Demi Allah Pemilik Kaa'bah" dan mengucapkan: "Atas kehendak Allah kemudian atas kehendakmu."
Syirik dalam bentuk ucapan, yaitu perkataan seperti: "Kalau bukan kerana kehendak Allah dan kehendak fulan". Ucapan tersebut adalah salah, dan yang benar adalah: "Kalau bukan kerana kehendak Allah, kemudian kerana kehendak si fulan."
Kata (kemudian) menunjukkan tertib berturutan, yang bererti menjadikan kehendak hamba mengikuti kehendak Allah.
[b]. Syirik Khafi (Tersembunyi), iaitu syirik dalam hal keinginan dan niat, seperti riya' dan sum'ah dan lainnya. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya yang paling aku takutkan atas kalian adalah syirik kecil." Mereka (para sahabat) bertanya: "Apakah syirik kecil itu, ya Rasulullah?" Beliau SAW menjawab: "Yaitu riya'."
Oleh yang demikian, pelaku-pelaku dosa syirik ini mestilah bertaubat. Sekiranya tidak bertaubat, maka Allah SWT tidak sekali-kali akan memberikan keampunan kepada pelakunya.
0 komentar:
Posting Komentar